Thanks for Visiting

Friday, March 30, 2012

Perpaduan

kat sekolah ada buat contest sempena bulan bahasa Melayu. semua pelajar telah diwajibkan buat sebuah karangan berdasarkan tajuk yang diberi. kat bawah ni ada karangan Nadh..... agak-agak ayat karangan Nadh best ke tak??


Negara indah kita yang tercinta, Malaysia telah mengamalkan perpaduan sejak sekian lamanya iaitu sedari zaman peralihan pentadbiran British ke tampuk pemerintahan anak Melayu. Dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi kedua, tercatat maksud perpaduan ialah keadaan atau hal berpadu. Perpaduan juga dicatatkan sebagai persatuan. Namun, dalam Kamus Dewan dan Pustaka edisi keempat, perpaduan didefinisikan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan, perihal berpadu. Perihal berpadu diperincikan sebagai bergabung menjadi satu dan sepakat. Sebelum Tanah Melayu diserahkan kembali kepada tampuk pemerintahan orang-orang Melayu, pihak Inggeris telah menetapkan syarat iaitu penduduk Tanah Melayu mestilah menunjukkan sikap perpaduan untuk mendapatkan kemerdekaan. Hal ini kerana, pihak Inggeris telah berjaya mengesan kemaslahatan dan faedah mempraktikkan perpaduan dalam kehidupan selangkah lebih awal daripada penduduk Tanah Melayu. Perkataan perpaduan juga sinonim atau sama ertinya dengan bekerjasama. Beberapa pepatah Melayu ada menyebut mengenai bekerjasama seperti ‘ibarat aur dengan tebing’; ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’; ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ dan sebagainya. Bahasa Melayu yang telah menjadi lingua franca di Tanah Melayu sejak sekian lamanya amat kaya dengan pepatah dan peribahasa yang indah nian. Tidak lupa juga pepatah ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Dapatkah kita membayangkan keadaan kita dewasa ini jika syarat yang ditetapkan oleh pihak Inggeris itu tidak kita turuti? Adakah kita masih dijajah oleh mereka? Kemungkinan jawapannya adalah ‘ya’. Perpaduan yang diamalkan rakyat membawa 1001 kemaslahatan kepada seluruh masyarakat. Mengapa tidak kita mendapatkan kemaslahatan tersebut dengan mengamalkan perpaduan dan bukannya hidup seperti kera sumbang atau dalam konteks pepatah, ‘ibarat enau dalam belukar’ yang melepaskan pucuk masing masing?

Perencah dominan kita diminta mempraktikkan perpaduan dalam kehidupan kita adalah kerana seiring dengan maksud perpaduan iaitu bersatu padu, masyarakat akan bergabung menjadi satu. Lagu Satu Malaysia dendangan Ernie dan Ronie sering didengari di corong-corong radio. Dua baris terakhir dalam rangkap kedua lagu tersebut ada menyatakan,
Kerana perpaduan,
Kita masih bersama.
Benarlah bait-bait yang disebut dalam lagu tersebut. Masyarakat negara Malaysia kita yang serba indah ini telah mengamalkan perpaduan dalam kehidupan sejak dahulu lagi untuk mendapatkan kemerdekaan dan sehingga sekarang kita masih dapat menghirup udara kemerdekaan yang dikecapi. Cuba kita singkap peristiwa sebelum merdeka. Penduduk Tanah Melayu bersendel bahu dan bangkit bersama-sama menuntut kemerdekaan daripada pihak Inggeris. Mereka sedar bahawa mereka mesti melepaskan diri daripada dijajah oleh ‘tetamu’ di rumah sendiri. Implikasi daripada perpaduan yang ditanam, rakyat Malaysia dewasa ini hidup dengan aman damai dan harmoni tanpa kongkongan penjajah. Kini, perpaduan masih lagi utuh menjadi amalan rakyat Malaysia ‘ibarat tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’ dan seperti sudah menjadi adat di Malaysia. Jika sudah dianggap adat, moleklah kita menghayati maksud peribahasa ‘biar mati anak jangan mati adat’. Kita perlu sedar dan mencelikkan mata bahawa ramai pihak sedang mengintai peluang di negara kita yang sedang ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan kelompok negara-negara maju yang lain untuk mengambil alih tampuk pemerintahan di Malaysia. Senjata yang paling hebat untuk mengalahkan pihak-pihak ini ialah semangat perpaduan. Semangat perpaduan yang utuh lagi kukuh ibarat kota A Famosa mampu menggerunkan pihak musuh. Perkara ini menjelaskan maksud pepatah Melayu, ‘bersatu teguh bercerai roboh’.

Alibi kedua yang menunjukkan perpaduan membawa banyak kebaikan adalah dapat menghasilkan graf yang curam yang menaik dalam peningkatan ekonomi negara. Hal ini dapat dilihat dalam kerjasama antara kaum terutamanya dalam perniagaan. Ramai penduduk Malaysia yang berbangsa Melayu menjalankan perniagaan bersama dengan penduduk berbangsa Cina. Hasil kerjasama itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Penduduk berbangsa Cina di negara kita sangat sinonim dengan perdagangan dan perniagaan. Semasa zaman pemerintahan pihak Inggeris, mereka telah memperkenalkan peraturan pecah dan perintah. Pecah dan perintah atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai ‘divide and rule’ adalah satu langkah untuk mengelakkan perpaduan berlaku. Mereka sedar apabila penduduk di Tanah Melayu bersatu, para penduduk akan bangkit dan menentang pemerintahan pihak Inggeris. Orang Melayu disuruh tinggal di kampung dan menjalankan aktiviti sara diri, orang Cina digalakkan berniaga di bandar manakala orang India diminta menjadi polis di estet, kebun dan ladang. Peristiwa ini izhar menjelaskan hipotesis bahawa orang berbangsa Cina mempunyai pengalaman yang luas dalam perniagaan dan lebih terampil menguruskan perniagaan berbanding orang Melayu. Justeru itu, kerjasama yang dibina antara orang Cina dan orang Melayu sedikit sebanyak memberi ilmu dan pengalaman dalam bidang perdagangan dan perniagaan seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi negara Malaysia kita. ‘Bersatu bertambah mutu’.

Isi penghabisan untuk kebaikan mempraktikkan perpaduan adalah dapat mengelakkan huru hara berlaku. Apa kata kita cuba singkap kembali peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut melakarkan sejarah hitam di negara kita apabila berlaku rusuhan kaum antara penduduk berbangsa Cina dengan penduduk berbangsa Melayu. Natijah daripada peristiwa itu urusan perniagaan di negara terhenti. Ekonomi negara agak merundum ketika itu. Peristiwa itu juga menyebabkan kaum Melayu memulaukan bangsa Cina. Mereka saling tidak bertegur sapa dan semua orang berada dalam ketakutan. Pada ketika itu, negara kita seolah-olah tersekat di medan kegelapan. Keadaan amat meruncing waktu itu. Namun, syukurlah keadaan seperti itu tidak lagi berlaku di negara kita marcapada ini. Mari kita bergerak pula negara seperti Mesir. Baru-baru ini penduduk seantero digemparkan dengan berita di Mesir yang berlaku rusuhan penduduk. Akibatnya, ekonomi negara mereka terhenti seketika. Institut pendidikan terpaksa ditutup sebentar. Pelajar-pelajar dari Malaysia terpaksa dihantar pulang. Beberapa kematian dicatatkan. Ambil masa seminit dan cuba fikirkan perkara ini di sudut sanubari kita. Mahukah perkara-perkara seperti itu berlaku lagi di Malaysia pada waktu sekarang ini? Sanggupkah kita mengahadapinya? Mampukah kita bertahan dengan keadaan yang ibarat seperti hendak berlaku kiamat sedangkan kita tidak pernah menghadapi peristiwa sedemikian?

Konklusinya, untuk mengekalkan keamanan negara, semangat perpaduan antara kaum perlulah dipupuk, disemai dan ditanam dalam diri setiap rakyat. Selain ditanam, semangat perpaduan juga haruslah senantiasa dibaja agar sentiasa tumbuh dengan subur dalam diri setiap insan. Semangat perpaduan yang subur akan menghasilkan buah yang cukup enak untuk dinikmati oleh semua orang. Pepatah Melayu ada menyebut ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuanya’. Begitulah diibaratkan perpaduan. Di samping itu, perpaduan yang kukuh juga dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara yang subur dan segar. Menyemai perpaduan bukanlah sesuatu yang sukar jika diteliti sebenarnya. ‘Alah bisa tegal biasa’. Pelbagai perkara boleh dilakukan untuk memupuk perpaduan dalam mujtamak di Malaysia. Aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti bergotong-royong, ceramah dan majlis keramaian sudah mampu menyemai sikap bersatu padu dalam kalangan rakyat. Hal ini kerana aktiviti seperti ini memerlukan kolaborasi tenaga dan kerjasama sesama penduduk. Kolaborasi ini mampu mengeratkan silaturrahim sesama ahli masyarakat. Perpaduan yang telah dibina mestilah dikekalkan demi kemaslahatan bersama.


approximately 1043 words


like and leave your comment

No comments:

Post a Comment

leave your comment here.thanks.